Rasa terdetik di hati ini untuk menyampaikan sedikit pesanan atau peringatan
bagi kaum hawa yang bergelar muslimah berkenaan dengan aurat ni. Saya
cuba cari isi yang lengkap berkaitan masalah aurat ni, dan alhamdulillah, dapat banyak info dr Ustaz. Zaharuddin.
Antara
penjelasan yang diberikan oleh ustaz, saya paparkan di bawah. Sama-sama
lah kita renungkan dan ambil iktibar serta perbaiki amalan diri kita.
KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT
Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut :-
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian
wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia
adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT:
ertinya :
"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke
dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHKAN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI
APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung),
iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa
yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu
belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.
Setiap
perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian
dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh
membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh
orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof
Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu
apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik
berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun
buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.
Dalam
ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya
menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan.
Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh
karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa
terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas .a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.
Yang
berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus
dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua
tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah
apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha',
Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah .a,
Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh
dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan
tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya
dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di
jauhi dari mendedahkannya.
Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini
tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh
perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah
di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang
sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah.
Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah,
adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah
haram.
Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus
bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya
itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga meluasnya kerusakan dan
banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau
perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan
akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)
Ini lebih diredhai di mata Rasulullah SAW.
Kesemua
jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat
seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan
mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan
perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga
(anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai),
perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang
kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain.
Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada
rukhsah untuk dinampakkan.
Amat jelas dari dalil al-Quran dan
al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang
membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya.Termasuk diantaranya ialah
pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya
tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan
sebagainya.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu:
(l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam);
(2)
Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung
kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan
maksiat , rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh
masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau
syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian ."
(Riwayat Muslim)
Mereka
dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada
tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup
aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu
tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan
pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof
Al-Qaradawi)
‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta
yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan
seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik
keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman
sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan
pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula
apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini
LARANGAN NIPIS
Saidatina
Aisyah .a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abu bakar pernah
masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya.
Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
"Hai Asma'!
Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya),
tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil
ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun
terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis
lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini
tidak akan membawa fitnah.
Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa
melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat,
selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya
adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
"
Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di
sebelah dalamnya)." (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah,
Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .
Menurut
Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh
dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para
sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para
sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respon
Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. (Al-Bayan wa
At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)
Berdasarkan
dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tidak
berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian
menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.
KESALAHAN
KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi
memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. sama ada
menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yang sesuai buat wanita
menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan
pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak
tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga
membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun
penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan
ini datang dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu
berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang
dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)
TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT
Berdasarkan
dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu
remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan
usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat
diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat,
maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak
luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar
nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan
mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada
disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-
" Maka
Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan
kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf :
20)
Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-
a) Perbezaan dengan binatang.
Allah
SWT berfirman : " Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu
pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan"
(Al-A'raf : 26)
Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat
ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam
iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini,
secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang
tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.
b) Agar kaum wanita tidak disakiti
Ia berdasarkan ulasan yang telah dibuat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.
c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.
Ia
juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT
menyebut : « .. yang saudara/i; demikian itu lebih memastikan mereka
agar dikenali (sebagai wanita Islam).. »
Dari sini jelas,
menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar
diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang
membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »
d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam .
Kita
dapat memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau restoran
hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya
dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas bagi
organisasi dan restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita
tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan
Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS
di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard'
berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.
Justeru,
Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu
lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia.
Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi
dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat
perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard' pemakaian
yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan
logik aqal manusia yang sihat.
e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.
Hal
ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : "Dijadikan hidup dan mati
adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al- Mulk :
2)
Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya,
setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia
memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa
bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang
memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya
dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW...
"
Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan
dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." (
Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )
Termasuklah dalam erti
mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di
hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si
wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang
memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik setelah gunungan
dosa mengaratkan hatinya?
Sesungguhnya Allah itu maha adil dan
maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan
mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali
; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan
Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih
seolah meraguinya?
No comments:
Post a Comment