Baginda telah dilahirkan pada 22 Januari, 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di luar negara di pusat pendidikan berprestij iaitu Geelong Grammar School di Geelong, Australia. Pada tahun 1988, baginda menghabiskan pembelajarannya di Universiti Antarabangsa Amerika Syarikat-Eropah (kini dikenali sebagai Universiti Antarabangsa Alliant) di London, baginda memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang pengkhususan Hubungan Antarabangsa pada 9 Jun 1988.
Baginda telah melibatkan diri dengan kursus ketenteraan PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages daripada 2 November 1982 hingga 31 Mei1983, dan kemudiannya menghadiri kursus ketenteraan SMC 33 di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst di England daripada 3 Mei 1983, menghabiskan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983. Baginda telah dikomisyenkan pangkat Leftenen pada 1 Mac 1984 dan telah memberikan khidmatnya di Askar Berkuda DiRaja.
Baginda telah dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda bagi Negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979, dan kemudiannya di lantik sebagai Pemangku Raja pada 20 Jun 1986 dan kali keduanya dari 20 Oktober hingga 8 November 1990.
Pada 28 Mac 1996, baginda telah diijabkabulkan dengan Sultanah Nur Zahirah. Istiadat Perkahwinan Diraja ini telah dilangsungkan di Istana Maziah,Kuala Terengganu. Pada 15 Mei 1998, baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya.
Tuanku Mizan telah dilantik secara rasminya sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1999 selepas Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-11 oleh Majlis Raja-Raja. Namun, selepas kemangkatan Sultan Salahuddin, Tuanku Mizan telah dilantik menjadi YDPA pada 21 November 2001.
Namun atas dasar kerjasama dan permuafakatan Majlis Raja-Raja Melayu, Tuanku Mizan bersetuju untuk kembali menduduki kerusi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2001 selepas Persidangan Majlis Raja-Raja sebulat suara melantik Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis sebagai YDPA yang ke-12.
Tuanku Mizan pertama kali dilantik sebagai Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dari tahun (2001–2006).
Pada 3 November 2006, Tuanku Mizan telah dipilih untuk menduduki takhta Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja Melayu sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-13 selama 5 tahun, bermula 13 Disember 2006 dan dijangka berakhir pada 13 Disember 2011. Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu pada ketika itu dipengerusikan oleh Sultan Abdul Halim, Sultan Kedah yang juga merangkap sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku Mizan sebenarnya telah diletakkan sebagai orang keempat dalam Kitaran Sembilan Raja-Raja Melayu yang ke-2 yang secara lazimnya pemilihan Yang di-Pertuan Agong adalah mengikut hukum kitaran ini. Namun, pemilihan Raja-Raja lain dalam negeri-negeri Melayu untuk menjawat jawatan tertinggi di Malaysia Yang di-Pertuan Agong masih boleh diperbincangkan. Mengikut hukum kitaran, setiap Raja-Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong hanya boleh memerintah Malaysia selama 5 tahun, dan inilah membuatkan Malaysia sebagai sebuah negara mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan yang unik.
Pada 26 April 2007, Tuanku Mizan secara rasminya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Tuanku Mizan, yang berusia 44 tahun ketika ditabalkan, ialah Yang di-Pertuan Agong yang ketiga termuda yang dilantik selepas Tuanku Syed Putra, Raja Perlis dan Tuanku Abdul Halim sebagaiSultan Kedah yang kedua-duanya mula dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada umur 40 dan 43. Tuanku Mizan ialah Raja Melayu pertama yang dilahirkan selepas Hari Kemerdekaan Malaysiayang jatuh pada 31 Ogos 1957.
Sebagai Ketua Negara Malaysia, Tuanku Mizan banyak mengadakan majlis rasmi dan lawatan kerja. Antaranya, baginda telah bersemuka dengan Presiden China, Hu Jintao ketika Sukan Olimpik 2008, mengadakan lawatan ke Pusat Kajian Saintifik Antartika dan menghadiri Perkahwinan Diraja Putera William dan Kate Middleton di London, England.
Pada 12 dan 13 Oktober 2011, Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-225 telah memutuskan bahawa Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah bakal menggantikan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 mulai 13 Disember 2011.
Demi meraikan berakhirnya pemerintahan baginda, Tuanku Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Tuanku Nur Zahirah berkenan untuk berangkat menghadiri majlis santapan menjunjung kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Negara pada 10 Disember 2011. Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Rais Yatim selaku Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Acara Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13 bersama isteri masing-masing. Turut hadir bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta isteri Tun Jeanne Abdullah.
Istiadat Keberangkatan Balik Tuanku Mizan dari Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Istana Maziah, Kuala Terengganu juga disiarkan secara lintas langsung di RTM 1 pada 12 Disember 2011.
Baginda sememangnya meminati sukan berkuda dari dulu lagi dan baginda sendiri telah mangadakan pertandingan berkuda tahunan di Malaysia dan pertandingan itu di sertai oleh pelbagai atlet berkuda dari segenap pelusuk negara terutamanya dari negara-negara Eropah. Baginda sememangnya meminati sukan berkuda dan menyukai makanan barat kerana baginda amat menitik beratkan soal pemakanan baginda.
Baginda telah mengalami kecederaan di lutut dan terpaksa menggunakan tongkat semasa Istiadat pemakaman Sultan Iskandar Johor pada 23 Januari 2010. Pada 24 Januari 2010, baginda berangkat ke Munich, Jerman bagi menjalani rawatan fisioterapi di Medical Park, St Hubertus, Bad Wiessee. Rawatan pakar diketuai Prof Andreas B.Imhoff. Pegawai pengiring baginda ialah pakar perubatan Hospital Putrajaya, pakar ortopedik Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur serta seorang pakar perubatan sukan. Sepanjang tempoh keberangkatan Baginda, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah akan menjalankan tugas-tugas rasmi Yang di-Pertuan Agong.
No comments:
Post a Comment