Tuesday, November 27, 2012

Sahabat dan Persahabatan

"I value my friendship with my every single breath. Friends of my past and still keeping me in touch, so do friends of today."




Kawan, persahabatan dan persaudaraan mempunyai makna yang menjunjung prinsip kehidupan. Saya telah menyusun beberapa hadis dan ayat-ayat Al Quran berkaitan dengan persahabatan untuk dijadikan rujukan.

Ayat Al Quran Mengenai Persahabatan: Sahabat Pada Hari Kiamat

(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." (al-Zukhruf:67)
Hadis Persahabatan: Memilih Kawan"Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat." (Riwayat Ahmad)


Ayat Al Quran Berkenaan Persahabatan: Orang Zalim Yang Menggigit Jari"Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si anu sebagai sahabat karib. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Memang syaitan akan melepaskan diri dari kejahatannya terhadap manusia. (Al-Furqan: 27-29)


Hadis Persahabatan: Tukang Besi dan Penjual Minyak Wangi"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Jangkitan Orang Durjana"Jangan bersahabat dengan orang yang durjana nanti menjangkit kedurjanaanya kepada anda. Awas dari berkawan dengan rakan/sahabat yang jahat." (Al-Mustadrak ala al Sahihain)


Hadis Mengenai Persahabatan: Orang Mukmin"Jangan bersahabat kecuali dengan orang Mukmin." [Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Jamuan Orang Bertakwa"Janganlah memakan jamuan anda melainkan orang yang bertaqwa." (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Cermin"Orang Mukmin adalah ibarat cermin bagi Mukmin yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya" (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Ikatan Setiakawan Kerana Allah"Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah." (Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr)


Hadis Persahabatan: Memanfaatkan Kelebihan Diri Untuk Menolong Orang Yang Tidak Ada Kelebihan Tersebut
"Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah dia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan lebih maka hendaklah dia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan." (Riwayat Muslim)


Hadis Persahabatan: Rasa Sayang

“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.” (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Doa Untuk Sahabat

Umar Ibnu al-Khattab meriwayatkan:

Pada suatu ketika saya memohon izin daripada Rasulullah s.a.w. untuk pergi menunaikan umrah. Baginda mengizinkan saya. Beliau berpesan “Jangan lupa mendoakan kami wahai saudaraku.”. Saya amat berbesar hati dengan ungkapan Baginda tersebut. (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Bermanis Muka

Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat” Riwayat Muslim)


Hadis Persaudaraan: Dua Muslim Berjabat Tangan

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Setiap dua orang muslim bertemu dan berjabat tangan nescaya diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah” (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Sering Ziarah-Menziarahi

Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman:

“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)” (Riwayat Ahmad)


Hadis Persaudaraan: Ucapan Untuk Sahabat - Kelahiran Anak


“Semoga Allah memberkati anda dengan kelahiran anak ini. Semoga anda bersyukur terhadap kurniaan Allah, mudah-mudahan anda dikurniakan kebaikan setelah ianya membesar.” (Diriwayatkan daripada Hussein Saidina Ali)


Hadis Persaudaraan: Ucapan Untuk Sahabat - Pulang Dari Perjalanan Jauh


“Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anda dalam perjalanan, mempertemukan saya dengan anda serta telah memuliakan anda dengan perjalanan tersebut.” (Diriwayatkan daripada Para Leluhur Silam; Salaf)


Hadis Persaudaraan: Ucapan Untuk Sahabat - Pulang Dari Medan Perjuangan Atau Jihad


“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadamu kejayaan, kemuliaan dan pengorbanan.” (Riwayat Muslim, Nas’I daripada A’isya)


Hadis Persahabatan - Ucapan Untuk Saudara - Pulang Dari Menunaikan Haji


“Semoga Allah menerima ibadah hajimu, mengampunkan dosamu, serta menggantikan semula harta yang telah anda belanjakan.” (Riwayat Ibnu Sunni daripada Ibnu Umar)


Hadis Persahabatan: Memberikan Hadiah


Ad-Dailami meriwayatkan daripada Anas r.a.; Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Kerapkanlah memberi hadiah kerana ia boleh meneguhkan kasih sayang dan menghilangkan persanggitan hati.” (Riwayat Thabrani)

Dalam hadith yang lain Baginda bersabda:

“Hendaklah kalian saling memberi hadiah, kelak kalian akan lebih mesra dan kasih.” (Riwayat Malik)


Hadis Berkenaan Persaudaraan Dalam Islam: Tujuh Hak Seorang Muslim Daripada Muslim Yang Lain.

Rasulullah s.a.w. menerangkan:

“Tiap orang MuKmin telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak daripada orang mukmin yang lain:

1. iaitu memandangnya dengan penuh penghargaan,
2. menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya,
3. menghulurkan simpati dengan harta sendiri,
4. mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya,
5. menziarahinya ketika sakit,
6. mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia) dan
7. tidak menyebut tentangnya kecuali yang baik sahaja setelah ketiadaannya.”

(Riwayat Ibnu Babawaih)





1. Jika engkau berbuat bakti padanya, ia akan melindungi mu.
2. Jika engkau rapatkan persahabatan denganya, dia akan membalas baik persahabatan mu.
3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantu mu.
4. Jika engkau menghulur kebajikan (bantuan) daripadamu,ia akan menghargai dan menyebut kebaikan mu.
5. Jika ia melihat sesuatu yg tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
6. Jika engaku meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakanya.
7. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
8. Jika engkau berdiam diri(kerana malu meminta) ia akan menanyakan kesusahan mu.
9. Jika datang bencana menimpa mu, ia akan meringankan kesusahan mu(membuat sesuatu untukj menghilangkan kesusahan itu).
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkan mu.
11. Jika engkau merancang sesuatu, nescaya ia akan membantu mu.
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.Walaupun begitu, kita sebagai sahabat kepada sahabat kita yang lain, haruslah memulakan untuk memiliki sifat-sifat tersebut. Semoga kita tergolong didalam hambaNYa yang bertaqwa.


Wassalam….{Petikan “bimbingan Mu’min’- Imam Ghazali}

Monday, November 26, 2012

Mudahnya ke syurga

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” (Riwayat)

Seorang wanita memang mudah masuk ke syurga berbanding lelaki. Ini kerana, jika seorang wanita itu betul-betul follow apa yang telah ditetapkan dalam agama islam. Syurga adalah tempatnya.

Berbanding dengan lelaki, banyak yang perlu ditanya sebelum masuk ke syurga, Allah akan tanya anak-anaknya, isteri-isterinya, berkenaan apa yang dibuat semasa hayatnya, jihadnya kemana dan semualah. Macam-macam lagi pertanyaan Allah.

Tetapi, wanita juga yang paling ramai di dalam neraka kerana solat yang dilakukan oleh seorang wanita itu kadangkala tidak mencegah dirinya daripada perkara keji dan mungkar, wanita juga antara yang suka berpuasa, tetapi puasanya hanya dapat lapar dan dahaga sahaja, tapi masih melakukan dosa-dosa, samaada dosa kecil atau besar.

Wanita antara yang susah menjaga maruahnya, masih membuka aurat, walaupun bertudung, tetapi tidak sangat mengikut tuntutan syarak dan wanita juga juga sering gagal memberi ketaatan kepada suaminya.



Bagaimana dengan menjaga maruah dan taatkan suami? 

Dua perkara ini lebih ramai yang gagal. Maruah diri tidak dijaga sewaktu keluar kerja. Pakaian yang mendedahkan aurat boleh membawa banyak dosa lain selepasnya. Pergaulan bebas juga boleh membawa kepada dosa mulut, mata dan telinga.

Mengenai mentaati suami, realitinya isteri paling ramai gagal memberi ketaatan kepada suaminya. Perintah suami mudah disanggah isteri dan kehendaknya saja yang dipakai. Layakkah mereka itu masuk syurga dalam keadaan itu?
Insaflah wahai wanita yang bergelar isteri. Jangan jadikan diri anda sebagai orang yang pertama masuk ke dalam neraka.
Semoga segala amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah.

Thursday, November 22, 2012

Ketaatan dan Keutamaan

Anak perempuan: Keutamaan ibu 3 kali ganda daripada bapa (taat kepada ibu bapa)
Isteri: Keutamaan suami melebihi ibu/bapa
 
Jika kita perhatikan, kedua-dua kedudukan ini mempunyai perbezaan yang besar.





Anak:

Berbakti terhadap kedua orang tua dan bahawa mereka adalah yang paling berhak menerima kebaktian tersebut

Hadith riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:
Seseorang datang menghadap Rasulullah saw. dan bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku pergauli dengan baik? Rasulullah saw. menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah saw. menjawab: Kemudian ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah saw. menjawab: Kemudian ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah saw. menjawab lagi: Kemudian ayahmu. (Sahih Muslim No.4621)

Kita sebagai anak, wajib mentaati kedua ibu bapa kita. Melaksanakan apa yang diperintahkan mereka selagi mana ianya masih dalam landasan syariat. Setelah bersuami, ketaatan itu bertambah dan kedudukan ketaatan itu berubah menjadikan suami ditempat yang utama. Kita biasa mendengar "Syurga di telapak kaki ibu" kerana redha ibu, redhalah Allah swt. Dan "Syurga itu letaknya pada keredhaan suami" Keredhaan suami kepada isteri adalah keredhaan Allah swt jua. Kedua-dua aspek ini (ibu/bapa dan suami) menjadikan peranan kita sebagai anak/isteri berbeza.(senyum) 

Isteri:

Tugas ibu/bapa yang suatu masa dahulu digalas pula oleh suami kepada isterinya. Member nafkah (perlindungan, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, wang saku dan sebagainya). Ditambah pula tanggungjawab seorang suami yang amanahnya cukup besar perlu dilaksanakan kepada seorang isteri. Malah nafkah ini berterusan walaupun suami isteri itu telah bercerai (na'uzbillah!)  Di dalam al-Quran menyatakan: " Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil maka berikanlah mereka nafkahnya sehingga mereka bersalin. Kemudian jika mereka menyusukan anak-anakmu maka berikanlah kepada mereka upahnya." At-Thalaq:6

Terbukti di sini, peranan suami itu bukan sahaja dalam ikatan pernikahan/rumahtangga malah berlakunya penceraian juga suami (bekas suami) masih memikul tanggungjawab. Isteri diperintahkan taat kepada suami sebab lainnya adalah kerana kelebihan akal, kelebihan beragama, kelebihan kekuatan fizikal, memiliki kewajipan sebagai pencari nafkah, keluar rumah untuk berjihad, serta mampu menghadapi kesulitan-kesulitan hidup.

Ismail Ibnu Katsir berkata, lelaki adalah pemimpin wanita. Dialah yang menjadi ketua, pemberi keputusan, dan pendidik bagi wanita ketika mereka menyimpang. Akan tetapi, dijadikannya lelaki sebagai pemimpin itu bukan bererti dia boleh membuat sewenang-wenangnya, menguasai dan merosak keperibadian wanita. Diwajibkan kepada lelaki untuk berpegang teguh pada prinsip musyawarah, agar ketenteraman, kasih sayang, dan cinta dapat dipelihara.Seorang wanita (isteri) muslimah yang berakal akan dapat menghargai kepimpinan lelaki (suami). Selayaknya suami itu ditaati isteri kerana tanggungjawab yang besar dipikulnya dan jangan ketepikan pula peranan ibu bapa kita. Allahu a'lam

Monday, November 5, 2012

Apabila Segalanya Dipertontonkan di Facebook


Cerita Di Kedai Kopi....


Keadaan di kedai makan itu seperti malam-malam sebelumnya. Orang ramai berpusu-pusu keluar masuk. Menu char koey teow menjadi pilihan utama bagi sesiapa yang mengunjunginya. Azmi tidak terkecuali. Cuma kali ini lebih tenang, apabila dia bersama dengan sahabatnya yang belajar di Mesir. Ehsan namanya. Sudah lama mereka tidak ketemu.


“Ko perasan tak, yang Facebook dah banyak berubah?”. Ehsan memulakan perbualan. Char koey teow special telah habis dijamahnya.

“Aah, aku perasan juga. Dah ada ticker sekarang ni, yang mana segala perbuatan kita di Facebook, akan diketahui umum. Malah, kalau upload gambar pun, punyalah besar apabila ada dekat wall tu. Dahsyat Facebook sekarang ni.” Rungut Azmi. Dia meneguk teh ais, sambil mengetap bibir kerana kesejukan.



“Hmm, itu yang aku risaukan. Bukannya apa, aku selalu terfikir. Bagaimana ketika di akhirat kelak, yang mana segala perbuatan kita akan dipertontonkan semula, samada perbuatan baik atau buruk. Tengok sajalah, kat Facebook pun, segala apa yang kita lakukan, akan keluar dekat ticker tu, dari ‘like’, ‘comment’ dan macam-macam lagi. Tidaklah aku katakan salah untuk bersosial, cuma perlulah berpada-pada. Kita tidak akan berasa segan sekiranya kita melakukan perkara yang bermanfaat di Facebook. Tetapi, malu sebenarnya, jika kita melakukan perkara yang melalaikan, yang mampu menimbulkan fitnah, kemudian dipertontonkan pula di khalayak ramai.” Ehsan meleter panjang.

“Aku pula cuma kurang suka sekiranya kawan-kawan perempuan aku, begitu seronok upload gambar kat Facebook. Bukannya apa, tidak ada salahnya untuk upload, tetapi tidak perlulah sehingga mendedahkan aurat, malah membuat gaya yang menggoda. Mata-mata yang liar begitu banyak memerhatikan mereka. Saham dosa semakin bertambah tanpa sedar. Tidak terkecuali bagi kawan-kawan lelaki juga yang suka mendedahkan aurat. Seolah-olah di akhirat, segalanya dipertontonkan di Facebook. Segala dosa-dosa akan dituntut di akhirat kelak.” Azmi menambah.

“Hmm, maka disebabkan itulah, kita kena pandai ambil peluang.” Ehsan menimbulkan tanda tanya dalam diri Azmi.

“Maksud ko?” Azmi menggelengkan kepala, tanda tidak mengerti.

“Orang selalu fikir bahawa laman web sosial ni, hanyalah tempat untuk kita bersosial sahaja, yang mana ikhtilat lelaki dan perempuan sudah tidak ada batasan. Bukanlah bermaksud tidak boleh berkawan langsung dengan berlainan jantina di Facebook, namun, perlu menjaga batas pergaulan, sungguhpun hanya di alam maya. Janganlah sehingga menimbulkan fitnah dan syak wasangka, atas segala perbuatan kita yang dipertontonkan di Facebook tu.” Hujah Ehsan.

“Gunakan medium ini untuk berdakwah. Nak jadi da`ie mesti kreatif. Takkan nak tunggu kita belajar kat Mesir, amek jurusan Syariah, nak kena jadi ustaz, baru boleh berdakwah, kan? Dengan hanya menggunakan medium seperti Facebook sahaja, kita dapat menyebarkan Islam, memberi manfaat kepada orang lain. Contohnya, boleh sahaja kita post link-link agama yang bermanfaat, contohnya dari ILuvIslam. Kongsikan tafsir Al-quran dan juga Hadis. Kemudian boleh sahaja kita post link-link dari Youtube, video yang memberi pengajaran. Maka apabila dipertontonkan di Facebook, di khalayak ramai, sekurang-kurangnya kita melakukan perkara yang bermanfaat. Mungkin sahaja menjadi saham pahala bagi kita, bukannya menjadikan Facebook sebagai medium menambah dosa dan tempat meluahkan perasaan, kan?” Tambah Ehsan, panjang lebar.

“Hmm, aku setuju dengan pendapat ko. Tapi, bagaimana kalau sesetengah daripada kawan-kawan kita kurang bersetuju? Mungkin sahaja akan ada umpatan-umpatan liar mengatakan bahawa kita pun perangai tak seberapa, nak berdakwah kat orang lain pula.” Azmi cuba menguji Ehsan.

“Iya, tidak dinafikan memang ada sahaja yang tidak bersetuju dengan kita. Namun sedarlah, redha Allah lebih penting dari redha manusia, kan? Perlu menjadi sempurna dulu ke, untuk membuatkan kita berhak menasihati dan berdakwah kepada orang lain? Tanpa sedar, sebenarnya kita dapat memperbaiki diri kita, sedikit demi sedikit.” Hujah Ehsan, padat.

“Betul juga apa yang ko cakap tu. Hmm, haa ko perasan sesuatu tak?”

“Tak pun. Perasan apa?”

“Aku rasa, tokeh kedai ni asyik pandang kita ja, rasanya dia macam dah nak tutup kedai.”

“Haha, agak arh, dah lewat ni kan, ok la, jumpa lagi nanti. Semoga segala apa yang kita bincangkan, memberi manfaat. Semoga Allah mempertemukan kita lagi. Assalamualaikum.”

“Haa, waalaikumussalam.”

Mereka berpisah, mengikut haluan masing-masing

Rawat Hati mu...

10 Pembasuh Dosa & Penawar Hati

Hassan al-Basri r.a. berkata: "Ketika saya berkeliling di jalan-jalan kota Bashrah dan di pasarnya dengan seorang pemuda ahli ibadah, tiba-tiba saya melihat seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi."
Dia dikelilingi oleh laki-laki, perempuan dan anak-anak.
Di tangan mereka masing-masing terdapat gelas yang berisi air. Mereka meminta petua dan ubat untuk penyakitnya.
Kemudian, pemuda yang bersamaku maju ke depan tabib, lalu dia berkata:
"Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? "
Kemudian, si tabib itu menjelaskan:
"Ambillah sepuluh macam ramuan:
  1. Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaddhu' (kerendahan hati),
  2. Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
  3. Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
  4. Tumbuklah dengan penumbuk qana'ah,
  5. Masukkan dalam kuali taqwa,
  6. Lalu tuangkanlah padanya air malu,
  7. Didihkanlah dengan api mahabbah,
  8. Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
  9. Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
  10. Lalu minum dengan sudu pujian.
Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat." - Dipetik daripada Kitab Nashaihul 'Ibad, Imam Nawawi.

Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli ma’rifat bernama Ibrahim Khawwash. Katanya penawar hati itu ada 5 :

1) Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya
2) Mengosongkan perut
3) Bangun bersolat malam
4) Bertadharruk (memohon doa) kepada Allah pada waktu sahur
5) Duduk di majlis orang-orang soleh.


Pertama : Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah bagi saya ramai di kalangan umat Islam yang melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa yang dibaca.

Kedua : Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi SAW sendiri mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti kata berpuasa atau bersederhana ketika makan. Saya pernah melihat kawan-kawan ketika kenduri begitu tamak mengambil makanan sampai penuh pinggan, kemudian akhirnya tidak dapat menghabiskan makanannya. Pertamanya ia tamak, keduanya dia membazir. Kedua-duanya perangai syaitan.

Ketiga : Ramai orang boleh bangun malam. Bangun sebab mahu ke tandas, atau kerana anak menangis, atau kerana mahu tonton Bola, atau kerana waktu penerbangan, atau juga kerana hendak bersahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walaupun 2 rakaat, memang sangat berat.

Keempat : Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sebelum berpuasa dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya, antara waktu mustajab doa ialah ketika waktu sahur.

Kelima : Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang baik tentu menenangkan jiwa. Ia jauh lebih mulia berbanding berada di disko, kedai kopi atau di padang bola.

Anda mahu menjadikan hati tenang dari resah gelisah, 5 perkara ini adalah penawarnya. Firman Allah:

“…ingatlah, dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang”.